Perintis…. Kini Tiada Lagi Di Hati.
Tuesday, March 20th, 2007
Suatu ketika dahulu, ketika aku di bangku sekolah rendah, muzik rap pernah mewarnai industri muzik tanahair. Pada awal tahun 1992, perintis muzik ketika itu, kumpulan 4u2c, yang amat popular dengan lagu Fiona. Kumpulan ni amat popular ketika itu, mempunyai ramai peminat, rata² daripada gadis² remaja. Bila kumpulan ni berjaya dengan muzik yang dibawa, ada la yang kumpulan lain yang ikut cuba muzik ni. Antaranya kumpulan KRU, Nico, Feminin, A to Z, KOOL, Nana Nurgaya dan lain². Tapi kini, semuanya tiada lagi. Yang tinggal hanyalah kumpulan KRU. Tapi kumpulan ni tidak lagi membawa irama rap.
Pada tahun 1995, muzik dangdut pula berjaya bertakhta di hati peminat muzik tanahair. Perintisnya, Amelina. Lagunya yang popular, ‘Ah Rindu Lagi!’, menjadi siulan anak² muda ketika itu. Penjualan albumnya (bukan album gambar dia ye!) melebihi 100 ribu unit, sekaligus melayakkan menerima anugerah platinum berkembar. Ramai artis wanita yang ikut jejak kejayaannya, dan album yang mereka hasilkan (album dangdut), laris di pasaran tempatan. Malah, ada juga artis² wanita, yang dahulu albumnya tak laku (album pop), laris albumnya bila bertukar ke irama dangdut. Antara artis² yang seangkatan dengan Amelina ialah Sheeda, Haiza, Iwan, Ani Mayuni dan kumpulan Eva. Tapi kini, irama dangdut tak popular lagi. Yang tinggal hanyalah kelab malam disco dangdut saja…
Pada penghujung tahun 1996, muzik alternative pula mewarnai industri muzik tanahair. Perintisnya, kumpulan OAG. Kumpulan ini memang popular ketika itu. Bila aku pergi tengok member aku jamming, pasti ada budak² lain jamming lagu OAG. Hebat betul aura OAG ketika itu. Macam biasalah, bila ada band yang success, ramailah yang nak ikut jejaknya. Kumpulan Exists & Amy Search pernah mencuba konsep alternative untuk album mereka. Ternyata ianya berjaya menambat hati peminat mereka. Tapi kini muzik alternative tidak lagi popular. Perintis muzik ni, OAG, muziknya kini lebih menjurus lagu yang mendayu².
Ketiga² muzik itu; rap, dangdut, alternative kini sudah tidak lagi lagi popular. Semuanya sudah tinggal dalam lipatan sejarah muzik tanahair. Selepas ini, siapakah perintis muzik genre baru? Sama² kita melihat…. dan mendengar!